ILMU UNTUK SEMUA....

MATI ITU SEBAGAI PERINGATAN

Selasa, 15 Februari 2011

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW





ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

1. Khadijah binti Khuwailid

Sayyidatina Khadijah adalah seorang perempuan bangsawan Quraisy dan seorang hartawan. Ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW, dia berusia 40 tahun dan Baginda ketika itu berusia 25 tahun. Selama bersama Khadijah, Rasulullah SAW tidak pernah berkahwin dengan perempuan lain sehinggalah Khadijah meninggal dunia ketika berusia 65 tahun pada tahun ke 10 kerasulan.

Hasil daripada perkahwinan ini Rasulullah SAW dikurniakan 6 orang anak, dua orang putera dan empat orang puteri. 
2. Saudah binti Zam’ah

Sayyidatina Saudah adalah salah seorang perempuan yang terawal yang memeluk Islam. Beliau dan suaminya termasuk dalam rombongan yang diperintahkan Rasulullah SAW berhijrah ke Habsyah. Suaminya Sakram bin 'Amir meninggal dunia sekembalinya mereka dari Habsyah. Bagi melindungi dan menolongnya daripada penderitaan dan fitnah, Rasulullah SAW mengahwininya pada tahun wafatnya Sayyidatina Khadijah.
3. 'Aisyah binti Abu Bakar

Pertunangan Rasulullah SAW dengan Sayyidatina 'Aisyah berlangsung di Makkah setelah sebulan dari perkahwinan Baginda dengan Sayyidatina Saudah dan perkahwinannya pula berlangsung pada tahun pertama Hijrah.

Pada hakikatnya perkahwinan ini adalah atas keinginan ayahanda Sayyidatina 'Aisyah iaitu Abu Bakar, selain untuk memenuhi harapan Rasulullah SAW yang menginginkan adanya seorang wanita yang dapat menyampaikan ajaran-ajaran Baginda. Kenyataannya Sayyidatina 'Aisyah memang seorang yang cepat dan cerdas dalam memahami ajaran-ajaran Rasulullah SAW dan pandai serta ahli tentang hukum-hukum Islam.
4. Hafsah binti Umar

Sayyidatina Hafsah adalah puteri ‘Umar bin Khattab r.a dan juga bekas isteri salah seorang sahabat yang syahid dalam perang Badar. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, 'Umar pernah menawarkan puterinya itu kepada Abu Bakar r.a dan 'Uthman bin Affan r.a, namun kedua-dua mereka menolak. Maka untuk menggembirakan hati 'Umar, Rasulullah SAW mengahwininya.
5. Zainab binti Khuzaimah

Sejak zaman jahiliah, Zainab terkenal sebagai seorang perempuan yang penyayang, pemurah dan budiman terutama kepada orang-orang miskin sehingga dia mendapat nama julukan "Ummul Masaakin" (ibu orang-orang miskin).

Sayyidatina Zainab adalah isteri Baginda yang keempat sesudah Saudah. Beliau wafat selang beberapa bulan sesudah perkahwinannya dengan Rasulullah SAW.
6. Hindun binti Abi Umaijah

Beliau juga digelar Ummu Salamah kerana mempunyai anak yang bernama Salamah hasil perkahwinannya dengan sahabat 'Abdullah bin 'Abdul Asad yang syahid ketika memimpin suatu petempuran.

Menurut sesetengah riwayat pada waktu Rasulullah SAW melamar Ummu Salamah, beliau menjawab, "Aku ini seorang perempuan yang sudah tua, menjadi ibu kepada anak-anak yatim dan saya sangat cemburu". Kata-kata itu disambut oleh Rasulullah SAW dengan menjawab, "Tentang perkataanmu : aku ini seorang perempuan yang sudah tua, aku jawab : aku lebih tua daripada kamu dan tidak akan tercela seorang yang kahwin dengan seorang laki-laki yang lebih tua daripadanya. Tentang perkataanmu : aku ini menjadi ibu anak-anak yatim, aku jawab : anak-anak yatim itu tanggungan Allah dan RasulNya. Tentang perkataanmu : aku ini seorang perempuan yang sangat cemburu, aku jawab : aku doakan kepada Allah mudah-mudahan Dia melenyapkan sifat yang demikian daripadamu".
7. Zainab binti Jahsy
Zainab adalah bekas isteri Zaid bin Harithah (bekas budak dan merupakan anak angkat Rasulullah SAW). Zaid menceraikan Zainab kerana tidak tahan dengan sikapnya yang sering membanggakan keturunan dan sering merendahkan darjat suaminya.

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab menghapuskan adat kebiasaan bangsa 'Arab yang menyamakan anak angkat dengan anak sendiri dari segi hak keturunan, hak warisan dan sebagainya. Perkahwinan ini berlangsung pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah. 
8. Juwairiyah binti Harith

Beliau adalah salah seorang dari tawanan perang tentera muslimin dengan Bani Musthaliq, puteri kepada Harith bin Dhirar, ketua suku tersebut. Dia mendapatkan Rasulullah SAW untuk meminta pertolongan agar diperkenankan membayar tebusan untuk dirinya agar dimerdekakan. Baginda bersedia membayar tebusan dan mengahwininya.

Apabila beliau memeluk Islam dan berkahwin dengan Rasulullah SAW, lebih kurang 100 orang tawanan Bani Musthaliq dibebaskan oleh kaum muslimin kerana tidak mahu memperhambakan orang yang mempunyai tali perkahwinan dengan Baginda. Akhirnya mereka yang dibebaskan ini memeluk Islam. 'Aisyah pernah berkata, "Saya belum pernah mengetahui seorang perempuan yang banyak berkat kebaikannya kepada kaumnya lebih dari Juwairiyah". 
9. Safiyyah binti Hujaj
Safiyyah adalah anak ketua Yahudi Bani Nadhir, Hujaj bin Akhtab. Beliau turut menjadi salah seorang tawanan dalam penaklukan Kota Khaibar. Suaminya terbunuh dalam peristiwa penaklukan itu. Safiyyah diserahkan kepada Rasulullah SAW, memandangkan dia adalah seorang puteri dari ketua Bani Nadhir. Dia dimerdekakan dan dikahwini oleh Baginda. Perkahwinan ini berlaku ketika tentera muslimin masih berada di Khaibar. 
10. Ramlah binti Abu Sufian

Beliau adalah puteri Abu Sufian bin Harb dan isteri Abdullah bin Jahsy, pernah berhijrah ke Habsyah bersama suaminya. Sampai di sana suaminya masuk agama Nasrani dan dia diceraikan. Memandangkan orang tuanya yang masih musyrik dan suaminya yang telah bertukar agama, Rasulullah SAW mengirimkan seorang utusan kepada Raja Najasyi meminta dia meminang Ramlah bagi pihak Baginda. Raja Najasyi sendiri memberikan maskahwinnya. Perkahwinan ini berlaku pada tahun ke 6 Hijrah, ketika itu usia Ramlah lebih kurang 30 tahun. Setelah itu Raja Najasyi mengirimkan Ramlah mengadap Rasulullah SAW di Madinah pada tahun ke 7 hijrah. Dia wafat pada tahun ke 42 Hijrah ketika berusia lebih kurang 60 tahun. 
11. Maimunah binti Al-Harits

Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau bernama Barrah. Baginda mengahwininya ketika Baginda baru saja selesai mengerjakan "Umrah al Qadha" di Mekah. Perkahwinan dengan Maimunah adalah perkahwinan Rasulullah SAW yang terakhir. Dia wafat pada tahun ke 63 hijrah dalam usia lebih kurang 80 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan