ILMU UNTUK SEMUA....

MATI ITU SEBAGAI PERINGATAN

Selasa, 15 Februari 2011

Qanaah - Kesederhanaan Hidup Rasulullah

بِسْــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم









KEHIDUPAN Nabi Muhammad s.a.w. sangat sederhana. Pada suatu hari Baginda sedang berehat di rumahnya sambil berbaring di atas tikar yang diperbuat daripada daun-daun tamar. Tiba-tiba, seorang sahabatnya yang bernama Ibn Mas`ud datang menziarahi Baginda. Oleh kerana pada masa itu Rasulullah tidak memakai baju, maka Ibn Mas`ud melihat bekas anyaman tikar itu melekat di tubuh Baginda. Melihat keadaan yang demikian, Ibn Mas`ud bersedih dan menitiskan air mata. Beliau berkata di dalam hatinya: Tidak patut seorang kekasih Allah, seorang pemimpin negara dan seorang panglima tentera hidup dengan cara demikian.

Ibn Mas`ud pun berkata: "Ya Rasulullah, bolehkah saya membawakan tilam ke sini untuk Tuan?''
Rasulullah menjawab, "Wahai Ibn Mas`ud, apalah erti kesenangan hidup di dunia ini bagiku. "Hidup di dunia ini bagiku bagaikan seorang musafir dalam perjalanan jauh, lalu dia singgah sebentar berteduh di bawah pohon kayu yang rendang untuk berehat. Kemudian dia harus berangkat meninggalkan tempat itu untuk meneruskan perjalanan yang sangat jauh dan tidak berpenghujung.''

Dalam suatu peristiwa lain pula, ialah ketika Rasulullah menikahkan puterinya, Fatimah dengan Ali bin Abi Talib. Pada masa itu Baginda menjemput Abu Bakar, Umar dan Usamah untuk membawakan 'persiapan' Fatimah. Mereka tertanya-tanya apakah yang disiapkan oleh Rasulullah untuk puteri tercinta dan menantunya yang tersayang itu? Ternyata, Rasulullah hanya menyiapkan gandum yang telah digiling, kulit binatang yang disamak, cerek dan sebiji pinggan. Apabila mengetahui hal itu, Abu Bakar menangis.

"Ya, Rasulullah, hanya inikah persiapan untuk Fatimah?'' tanya Abu Bakar tersedu-sedan."Ini sudah cukup bagi orang yang berada di dunia,'' jawab Rasulullah menenangkannya. Kemudian Fatimah keluar dari rumah dengan memakai pakaian pengantin yang cukup bagus, tetapi mempunyai 12 tampalan! Tiada perhiasan yang berharga mahal.

Setelah bernikah, Fatimah sentiasa menggiling gandum, membaca al-Quran, mentafsirkan kitab suci dengan hatinya, dan menangis. Itulah sebahagian daripada kemuliaan diri Fatimah. Majlis pernikahan puteri Rasulullah itu memang sederhana kerana kesederhanaan adalah sebahagian kehidupan Rasulullah sendiri. Sebenarnya, Baginda mampu membuat majlis besar-besaran untuk pernikahan puterinya itu dengan meminta bantuan para sahabat yang kaya. Namun, sebagai manusia agung, `kemegahan' tidaklah bermakna kebendaan. Rasulullah ingin menunjukkan kesederhanaan dan sifat qanaah (puas hati), yang merupakan kekayaan yang hakiki.

Baginda pernah bersabda: "Kekayaan yang hakiki adalah kekayaan iman dan dicerminkan dalam sifat qanaah.'' Bersifat qanaah bererti menerima ketentuan Allah dengan sabar, dan menarik diri daripada kecintaan kepada dunia. Iman, kesederhanaan dan qanaah adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Seorang mukmin akan bersikap sederhana dalam hidupnya, dan kesedehanaan itu ditunjukkan daripada sifat qanaahnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Qanaah adalah harta yang tidak akan hilang dan simpanan yang tidak akan lenyap.''

Dari Abu Hurairah r.a katanya: "Nabi saw. bersabda yang maksudnya: "Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu.” (Riwayat Bukhari)

Berkata Ibnu Umar r.a bahawasanya Nabi s.a.w telah bersabda : Allah telah berfirman : "Wahai anak Adam! Bukankah apa yang ada padamu itu sudah mencukupi? Mengapa masih minta kelebihan yang akan membinasakan engkau? Dengan sedikit, engkau tak pernah puas. Dan dengan banyaknya engkau tak pernah kenyang! Kalau bangun pagi, sedang engkau sihat walafiat jiwamu pun tenang dan tenteram, makan minum hari itu pun sudah tersedia, apa lagi mahu dengan dunia? Biarlah ia terlungkup!" (Riwayat Ibnu ‘Adi dan Baihaqi)

Sifat qanaah itu sangat dijunjung oleh agama. Nabi s.a.w sentiasa menganjurkan supaya kita sentiasa berqanaah dalam kehidupan, yakni sentiasa merasa puas dan cukup dengan apa yang ada saja. Apa yang telah ditentukan oleh Allah dari rezeki sehari-hari, syukur dan alhamdulillah. Tetapi usaha mestilah diteruskan. Jangan sampai kita berdukacita akan kekurangan rezeki atau penderitaan hidup, kerana itu adalah bahagian kita yang telah ditakdirkan oleh Allah Ta’ala. Segala takdir dan ketentuan dari Allah Ta’ala itu ada hikmatnya. Dia Maha Mengetahui, Maha Adil lagi Bijaksana.

Sebab itu Allah s.w.t menerusi hadith Qudsi ini menyuruh kita berfikir dua kali sebelum kita bersungut. Mungkin penambahan yang kita minta-minta itu akan menyebabkan kita menyeleweng dari jalanNya, menyebabkan kita melampaui batas dalam perintah dan laranganNya. Dengan kelebihan kurnia dariNya itu mungkin kita akan melupakan Tuhan, lalu kita melakukan perkara-perkara yang dimurkaiNya sehingga kita ditimpakan bala dan bencana. Sebab itulah, kita tidak diberikan kurnia itu, disebabkan Allah masih mengasihi kita dan memelihara kita dari penyelewengan yang dipimpin oleh hawa nafsu kita yang jahat itu.

Allah ada berfirman yang maksudnya:"...boleh jadi kamu benci pada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Selain itu, memang tabiat manusia, jika diberi sedikit sentiasa tidak pernah cukup dan puas, sentiasa meminta tambahan yang banyak. Dan bila diberi banyak pula, tidak pernah tahu berterima kasih dan bersyukur, malah terus meminta ditambah dan ditambah lagi terus menerus. Kemudian firman itu mengingatkan kita; bukankah sudah bagus, kalau kita bangun pagi dari tidor dalam keadaan sihat walafiat, badan kita baik-baik belaka, jiwa kita tenang dan tenteram, tidak ada yang mengganggu. Di samping itu, rezeki yang diberikan sudah pula tersedia dan cukup untuk hari itu. Apalagi yang hendak difikirkan tentang dunia ini! Apalagi yang hendak difikirkan tentang kemewahan dan kesenangan hari esok! Sedang hari esok belum tentu lagi datangnya. Kalau datang pun, bukankah Tuhan telah menjamin rezekinya.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan